Penerbitan Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti

Selepas kejayaan telefilem Pok Ya Cong Codei dan kesinambungannya, Pok Ya Cong Codei, Siti di Hati, Sabri Yunus mengutarakan ideanya dengan menghasilkannya dalam bentuk drama bersiri. Sabri menjelaskan pembikinan drama rantaian itu dibuat atas permintaan peminat termasuk stesen penyiar.[2] Dalam satu temubual eksklusif bersama Berita Harian pada Disember 2021, beliau berkata:

"Tidak dinafikan saya banyak menerima pertanyaan penonton yang mahu drama Pok Ya Cong Codei disambung. Mereka ingin tahu apa kesudahan terhadap watak Siti yang melarikan diri. Kebetulan stesen penyiar meminta saya menyambung kisah yang pernah dipaparkan dalam telefilem dan mahu diterbitkan dalam bentuk drama bersiri. Maka saya hasilkan skrip yang berkisar kepada apa yang berlaku selepas Siti menghilangkan diri. Untuk drama bersiri ini, cerita yang bakal diketengahkan ada konflik yang berlaku antara Pok Ya dan orang di sekelilingnya... Selebihnya kenalah tengok sendiri,".[2]

Untuk drama ini, beliau membawa dua pelakon hebat iaitu Eman Manan dan Farid Kamil yang membawa watak samseng. Turut berlakon ialah Angeline Tan dan Azizul Ammar. Sabri berkata, Eman dipilih kerana beliau perlukan pelakon yang lebih kurang sebaya dengannya, manakala Farid mempunyai nilai komersial, yang mana beliau percaya dengan bakatnya.[2] Turut berlakon dalam drama ini ialah Zee Khan Hussein yang sebelum ini pernah melakonkan watak Siti dalam Pok Ya Cong Codei, Siti di Hati.

Penggambaran dijalankan pada Disember 2021 di Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur dan mengambil masa 56 hari untuk disiapkan. Menurut Sabri, cabaran dihadapi ketika penggambaran di Kelantan ialah tidak banyak babak yang dapat dirakamkan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.[2]